Tuesday, March 9, 2010

Komen Terhadap Akta Pendidikan 1996

Akta Pendidikan 1996 telah menampakkan secara jelas, hala tuju dan wawasan pendidikan kita , tidak seperti Akta pelajaran 1961 yang jelas hanyalah untuk menyatupadukan kaum di Malaysia. Hal ini penting pada waktu itu sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan tugas utama untuk menjaga perpaduan kaum. Akta Pelajaran 1961 adalah sesuai pada waktu itu dan ia perlu diolah semula mengikut kehendak dan aspirasi pendidikan masa kini. Lantaran itulah lahirnya Akta Pendidikan 1996 yang lebih canggih dan dapat mencapai cita-cita negara sekarang, yang mahu menjadikan pendidikan sebagai asas pembangunan negara yang dilihat bukan sahaja pembangunan dari segi material tetapi juga emosi dan jasmani serta intelektualisme individu.

Dengan adanya akta baru ini, maka hasrat dan cita –cita negara untuk menjadi sebuah negara maju dan berwawasan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, dapat melahirkan tenaga kerja dan rakyat yang mempunyai daya inovatif dan kreatif , turut menyumbang fikiran dan tenaga dalam mencapai aspirasi negara seperti mana yang termaktub dalam Wawasan 2020.
Walaupun Akta Pendidikan 1996 ini merupakan satu akta yang dapat kita katakan boleh memenuhi cita rasa dan aspirasi negara tetapi dalam beberapa aspek dan sudut tertentu ia boleh diperbaiki lagi.

Dalam seksyen 136, 137 dan 138 yang memberi kuasa begitu besar dan longgar kepada Ketua Pendaftar dan pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor untuk menyiasat, memasuki premis dan membuat dakwaan walaupun tanpa waran dari mahkamah merupakan satu perkara yang boleh ddikaji semula kerana seolah-olah autoriti dan kuasa yang ada atau diberikan kepada pengetua atau tuan punya premis tercabar dan boleh menjejaskan reputasi pendidikan negara. Waupun ini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan pelajar dan mutu pendidikan tetapi kekerasan untuk memasuki premis pendidikan oleh pihak berkuasa itu hendaklah dikaji semula. Kehadiran dan penggelidahannya di premis pendidikan itu tanpa waran dapat dianggap sebagai satu bentuk kekasaran.

Dalam soal bahasa bukan bahasa ibunda teutama sekali bahasa Arab (sebagai bahasa Al-Quran) tidak disentuh dengan jelas dalam akta ini, tidak seperti bahasa-bahasa lain yang merupakan bahasa ibunda kaum di Malaysia. Hanya tercatat dalam seksyen 2 , perkara (iii), Akta Pendidikan 1996 yang berbunyi:

Bahasa Arab sebagai bahasa untuk memperkembangkan agama Islam sepatutnya diberi penekanan selaras dengan Islam sebagai agama rasmi negara. Malah bahasa Arab juga adalah merupakan satu bahasa ilmu yang kita tidak boleh anggap ringan. Sejarah perkembangan dan ketamadunan khususnya tamadun Islam amat perlu kepada bahasa tersebut supaya ilmu yang dimilik terutama oleh orang-orang Islam bukan hanya perlu merujuk kepada golongan orientalis. Rujukan-rujukan agama Islam adalah tidak lepas dan tidak sudah tanpa menggunkan bahasa Arab.

Peruntukan-peruntukan yang membenarkan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di institusi pendidikan melalui akta ini sepatutnya disemak semula. Misalnya kedudukan sekolah-sekolah ekspatriat begitu bebas, tidak terikat dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan, seperti yang terdapat dalam Seksyen 15.

Begitu juga dalam seksyen 23, yang membicarakan tentang kedudukan bahasa pengantar di sekolah tadika. Manakala dalam seksyen 17 perkara 1 , Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan kebangsaan, tetapi ada juga kekecualian yang diberi iaitu sekolah kebangsaan yang ditubuhkan dibawah seksyen 28 atau mana-mana pendidikan lain yang dikecuali oleh Menteri. Di sini menampakkan kepada kita kedudukan bahasa kebangsaan masih lagi belum mantap sepenuhnya dalam Akta ini.

Kesan daripada membenarkan bahasa-bahasa lain menjadi bahasa pengantar, maka kita dapati 1,290 buah sekolah Kebangsaan Cina dengan 580,000 murid dan 550 buah Sekolah Kebangsaan Tamil dengan 96,000 pelajar terus menggunakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Manakala 250 buah institusi pendidikan tinggi swasta terus menggunakan Bahasa Inggeris. (Datuk Zainal Abidin A. Wahid, 1999).

Menurut Datuk Zainal Abidin bin A. Wahid lagi, Pada tahun 1997, iaitu terdapat 84,000 pelajar di Institu Pendidikan Tinggi Swasta. Dari jumlah tersebut cuma 5 peratus sahaja pelajar Melayu dan di IPTA jumlah pelajar bumiputera adalah 55 peratus dan bukan bumiputera 45 peratus.
Isu bahasa mempunyai perkaitan yang rapat dengan perpaduan. Perpaduan yang wujud sekarang memang telah jauh berubah, namun usaha-usaha memupuk dan meningkatkan perpaduan merupakan agenda penting. Jika pengabaian isu bahasa boleh menjejaskan perpaduan kerana keadaan ini boleh merosotkan nilai ekonomi bahasa Melayu, boleh menjejaskan tata bahasa rasmi dan bahasa perpaduan, memburukkan lagi ketidakseimbangan dari segi penyediaan tenaga iktisas di kalangan bumiputera. Pengabaian bahasa juga boleh menjejaskan perpaduan negara kerana akan memperluaskan lagi jurang ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, juga mengakibatkan muculnya dua atau tida kumpulan pelajar ; aliran kebangsaan, aliran Inggeris dan aliran Cina.
Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah telah membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 di dewan Rakyat, pada 18 Disember 1995 (yang menjadi Akta Pendidikan sekarang). Di antara kata-kata beliau ialah:

"………..Inilah yang tersurat di dalam seksyen 17 (1) rang undang-undang ini. Seksyen ini menyatakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, tetapi seksyen ini juga turut memberi kuasa kepada menteri untuk mengecualikan penggunaanya oleh mana-mana institusi pengajian kita.

Apakah makna kata-kata ini? Apakah ia melambangkan kesungguhan untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan atau ia permulaan sikap tolak ansur kita dan seterusnya mebenarkan kedudukan Bahasa Kebangsaan kita musnah? Atauu ia permulaan kepada usaha untuk melenyapkan cita-cita Allahyarham Tun Razak untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di semua peringkat?

Bahasa kebangsaan yang bererti bahasa Melayu seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan , perkara 152 hendaklah menjadi teras dan asas dalam memantapkan perpaduan dan pendidikan negara. Oleh itu perkara yang longgar berkenaan dengan isu ini hendaklah perlu dikaji semula.

Dalam Akta Pendidikan 1996, apa yang nampak kura selesa ialah dari segi kuasa yang diberikan kepada Menteri. Begitu banyak kuasa yang diberikan. Sehingga menampakkan bahawa kuasanya bboleh menghapuskan kemurniaan Akta Pendidikan itu. Kuasa Menteri seperti mana dalam seksyen 143 dalam akta ini adalah dikira begitu besar:

Menteri boleh, jika difikirkannya wajar dan demi kepentingan sesuatu institusi pendidikan atau demi kepentingan murid atau awam, melalui perintah yang disiarkan dalam warta, mengucualikan institusi pendidikan atau mana-mana golongan atau golongan-golongan institusi pendidikan daripada semua atau mana-mana peruntukan Akta ini kecuali peruntukan pendaftaran, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian itu atau mengubah atau menambah syarat-syarat itu.

Walaupun ada beberapa perkara yang bolehh diperbincangkan lagi terhadap beberapa keratan atau seksyen, tetapi ternyata ia adalah merupakan satu perundangan yang dapat menggambarkan hasrat negara.Dengan harapan melalui akta ini akan dapat melahirkan satuu corak pendidikan yang unggul dan menjadi kebanggaan bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia. Sesungguhnya ciri-ciri lama untuk menyatupadukan kaum masih terkandung dalam Akta baru ini dan gabungjalin di antara hasrat Akta Pelajaran 1961 dengan hasrat yang dibincangkan itulah maka lahirnya satu bentuk kurikulum pendidikan yang canggih dan telah mulai dirasai oleh rakyat kini. Namun usaha-usaha penyemakan terhadap kedudukan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan di institusi pendidikan, kedudukan institusi pendidikan dan kuasa-kuasa menteri dan kuasa penyiasat yang tidak memerlukan waran untuk memasuki premis dan kuasa penggeledahan adalah difikirkan patut disemak semula. Ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga kemurnia Akta Pendidikan itu sendiri dan mancapai matlamat pendidikan negara dan Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment