Tuesday, March 9, 2010

RADAR
PITA FILEM

SEMUT
ANIMASI MENJADI KEPERLUAN DALAM HIDUP KITA.



Animasi dan pendidikanMultimedia dewasa ini tidak menjadi teknologi yang semata-mata didampingi oleh kelompok masyarakat yang tertentu sahaja tetapi apa yang jelas ialah ia sudah jauh meresap ke dalam kehidupan masyarakat semasa. Jika diperhatikan dalam dekad terakhir ini, kederasan pertumbuhannya sekaligus penerimannya di kalangan masyarakat amat ketara sekali.

Di pentas tempatan, ia tidak jauh berbeza malah apa yang dapat kita lihat ialah kepekaan pihak kerajaan terhadap kehadiran teknologi serta kemampuannya sebagai sumber ekonomi serta enjin ekonomi yang berupaya memacu ekonomi negara menjelang alaf mendatang. Koridor Raya Multimedia (MSC) ternyata menjadi petanda jelas akan keyakinan kita terhadap potensi teknologi tersebut.

Di dalam teknologi multimedia, animasi serta teknologi yang berkait rapat dengannya merupakan antara unsur terpenting. Sifat multimedia sebahagian besarnya diberikan oleh teknologi animasi, antaranya termasuklah ciri yang dinamik serta interaktif. Berbeza dengan media yang statik serta kaku, animasi menawarkan kemampuan untuk penampilan sesuatu objek yakni warnanya, jenis permukaan yang ingin ditampilkan serta kemampuan pergerakannya.

Kemampuan ini turut bergantung kepada sejauh mana keupayaan serta kecanggihan perisian pembangun animasi tersebut. Jika ianya adalah perisian pembangun animasi yang ringkas seperti perisian pembangun animasi GIF, maka keupayaannya mungkin setakat berupaya mengalihkan grafik yang terhimpun di dalam fail tersebut dengan selang masa yang ditetapkan. Tetapi jika ianya adalah sebuah perisian pembangun animasi yang lengkap serta canggih seperti yang digunakan dalam menghasilkan filem-filem berasaskan animasi di Hollywood seperti Toy Story serta Species, hasilnya ternyata amat menakjubkan. Anda sendiri tentu dapat menyaksikan betapa hidupnya adengan tersebut. Ada waktunya kita sukar untuk membezakan samada ia adalah benar ataupun dihasilkn dengan kesan animasi.

Kehadiran multimedia turut menyaksikan penerimaannya secara meluas di dalam segmen pendidikan. Di dalam aplikasi perdana MSC, penggunaan multimedia merupakan antara usur penting di dalam penyediaan serta pembangunan kandungan persekolahan bestari. Kelangsungannya ia turut membabitkan penggunaan animasi secara meluas serta aktif. Dengan cirinya yang dinamik serta berwarna, kandungan berasaskan animasi bukan sahaja nampak lebih hidup serta ceria tetapi turut mampu merangsang kecenderungan serta minat para pelajar.
Dunia pendidikan sejak dahulu lagi telah mempergunakan pelbagai kaedah serta teknologi dalam usaha memperalihkan pengetahuan serta ilmu di antara tenaga pengajar dengan para pelajar. Bermulalah dengan kaedah lisan, tulisan, lukisan dan kemudiannya menggunakan teknologi yang lahir kemudiannya seperti teknologi penyiaran yang membawakan penggunaan radio, telivisyen dan layar perak. Namun, sehingga kini kita masih melihat bagaimana sukarnya seseorang guru memperalihkan pengetahuan serta pelajaran secara efektif. Malah, ada waktunya kita turut pernah melihat guru kita berhempas pulas melukis di papan hitam serta mengulang sesuatu pelajaran itu untuk beberapa kali semata-semata untuk memahamkan kita.

Pelbagai pengalaman manusia yang lepas serta kepayahannya dalam memperalihkan ilmu kini cuba diatasi serta diperbaiki dengan penggunaan animasi di dalam multimedia. Lakaran visual ditunjukkan secara jelas serta dapat dimainkan secara berulangan oleh para pengguna untuk memastikan mereka benar-benar memhaminya. Animasi sebenarnya mempergunakan serta memanfaatkan sepenuhnya keupayaan pancaindera manusia

Kebelakangan ini kita turut menyaksikan kemampuan animasi yang mampu menyerupai persekitaran yang nyata serta realiti. Istilah yang lebih popular digunakan untuk menjelaskan kenyataan di atas ialah realiti maya. Inilah yang sebenarnya akan merintis jalan kepada proses pembelajaran yang tidak terpernah kita terfikir serta diimiginasi dahulu. Bayangkanlah jika anda mempelajari pelajaran geografi mengenai negara Australia, teknologi animasi dan multimedia dengan penggunaan perkakasan yang betul akan membolehkan anda seolah-olah berada di bumi Australia. Untuk sekarang ini, ia mungkin dianggap sebagai khayalan tetapi jangan terperanjat jika ia menjadi kenyataan dalam masa yang terdekat ini. Teknologi animasi memungkinkannya dan proses pembelajarannya pastinya akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan.
SELEPAS

SEBELUM

Kertas menjadi alat kitar semula dan mengasah kekreatifan para pelajar

Komen Terhadap Akta Pendidikan 1996

Akta Pendidikan 1996 telah menampakkan secara jelas, hala tuju dan wawasan pendidikan kita , tidak seperti Akta pelajaran 1961 yang jelas hanyalah untuk menyatupadukan kaum di Malaysia. Hal ini penting pada waktu itu sebagai sebuah negara yang baru merdeka dan tugas utama untuk menjaga perpaduan kaum. Akta Pelajaran 1961 adalah sesuai pada waktu itu dan ia perlu diolah semula mengikut kehendak dan aspirasi pendidikan masa kini. Lantaran itulah lahirnya Akta Pendidikan 1996 yang lebih canggih dan dapat mencapai cita-cita negara sekarang, yang mahu menjadikan pendidikan sebagai asas pembangunan negara yang dilihat bukan sahaja pembangunan dari segi material tetapi juga emosi dan jasmani serta intelektualisme individu.

Dengan adanya akta baru ini, maka hasrat dan cita –cita negara untuk menjadi sebuah negara maju dan berwawasan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, dapat melahirkan tenaga kerja dan rakyat yang mempunyai daya inovatif dan kreatif , turut menyumbang fikiran dan tenaga dalam mencapai aspirasi negara seperti mana yang termaktub dalam Wawasan 2020.
Walaupun Akta Pendidikan 1996 ini merupakan satu akta yang dapat kita katakan boleh memenuhi cita rasa dan aspirasi negara tetapi dalam beberapa aspek dan sudut tertentu ia boleh diperbaiki lagi.

Dalam seksyen 136, 137 dan 138 yang memberi kuasa begitu besar dan longgar kepada Ketua Pendaftar dan pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor untuk menyiasat, memasuki premis dan membuat dakwaan walaupun tanpa waran dari mahkamah merupakan satu perkara yang boleh ddikaji semula kerana seolah-olah autoriti dan kuasa yang ada atau diberikan kepada pengetua atau tuan punya premis tercabar dan boleh menjejaskan reputasi pendidikan negara. Waupun ini adalah bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kepentingan pelajar dan mutu pendidikan tetapi kekerasan untuk memasuki premis pendidikan oleh pihak berkuasa itu hendaklah dikaji semula. Kehadiran dan penggelidahannya di premis pendidikan itu tanpa waran dapat dianggap sebagai satu bentuk kekasaran.

Dalam soal bahasa bukan bahasa ibunda teutama sekali bahasa Arab (sebagai bahasa Al-Quran) tidak disentuh dengan jelas dalam akta ini, tidak seperti bahasa-bahasa lain yang merupakan bahasa ibunda kaum di Malaysia. Hanya tercatat dalam seksyen 2 , perkara (iii), Akta Pendidikan 1996 yang berbunyi:

Bahasa Arab sebagai bahasa untuk memperkembangkan agama Islam sepatutnya diberi penekanan selaras dengan Islam sebagai agama rasmi negara. Malah bahasa Arab juga adalah merupakan satu bahasa ilmu yang kita tidak boleh anggap ringan. Sejarah perkembangan dan ketamadunan khususnya tamadun Islam amat perlu kepada bahasa tersebut supaya ilmu yang dimilik terutama oleh orang-orang Islam bukan hanya perlu merujuk kepada golongan orientalis. Rujukan-rujukan agama Islam adalah tidak lepas dan tidak sudah tanpa menggunkan bahasa Arab.

Peruntukan-peruntukan yang membenarkan bahasa lain sebagai bahasa pengantar di institusi pendidikan melalui akta ini sepatutnya disemak semula. Misalnya kedudukan sekolah-sekolah ekspatriat begitu bebas, tidak terikat dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan, seperti yang terdapat dalam Seksyen 15.

Begitu juga dalam seksyen 23, yang membicarakan tentang kedudukan bahasa pengantar di sekolah tadika. Manakala dalam seksyen 17 perkara 1 , Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan kebangsaan, tetapi ada juga kekecualian yang diberi iaitu sekolah kebangsaan yang ditubuhkan dibawah seksyen 28 atau mana-mana pendidikan lain yang dikecuali oleh Menteri. Di sini menampakkan kepada kita kedudukan bahasa kebangsaan masih lagi belum mantap sepenuhnya dalam Akta ini.

Kesan daripada membenarkan bahasa-bahasa lain menjadi bahasa pengantar, maka kita dapati 1,290 buah sekolah Kebangsaan Cina dengan 580,000 murid dan 550 buah Sekolah Kebangsaan Tamil dengan 96,000 pelajar terus menggunakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Manakala 250 buah institusi pendidikan tinggi swasta terus menggunakan Bahasa Inggeris. (Datuk Zainal Abidin A. Wahid, 1999).

Menurut Datuk Zainal Abidin bin A. Wahid lagi, Pada tahun 1997, iaitu terdapat 84,000 pelajar di Institu Pendidikan Tinggi Swasta. Dari jumlah tersebut cuma 5 peratus sahaja pelajar Melayu dan di IPTA jumlah pelajar bumiputera adalah 55 peratus dan bukan bumiputera 45 peratus.
Isu bahasa mempunyai perkaitan yang rapat dengan perpaduan. Perpaduan yang wujud sekarang memang telah jauh berubah, namun usaha-usaha memupuk dan meningkatkan perpaduan merupakan agenda penting. Jika pengabaian isu bahasa boleh menjejaskan perpaduan kerana keadaan ini boleh merosotkan nilai ekonomi bahasa Melayu, boleh menjejaskan tata bahasa rasmi dan bahasa perpaduan, memburukkan lagi ketidakseimbangan dari segi penyediaan tenaga iktisas di kalangan bumiputera. Pengabaian bahasa juga boleh menjejaskan perpaduan negara kerana akan memperluaskan lagi jurang ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, juga mengakibatkan muculnya dua atau tida kumpulan pelajar ; aliran kebangsaan, aliran Inggeris dan aliran Cina.
Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah telah membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 di dewan Rakyat, pada 18 Disember 1995 (yang menjadi Akta Pendidikan sekarang). Di antara kata-kata beliau ialah:

"………..Inilah yang tersurat di dalam seksyen 17 (1) rang undang-undang ini. Seksyen ini menyatakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, tetapi seksyen ini juga turut memberi kuasa kepada menteri untuk mengecualikan penggunaanya oleh mana-mana institusi pengajian kita.

Apakah makna kata-kata ini? Apakah ia melambangkan kesungguhan untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan atau ia permulaan sikap tolak ansur kita dan seterusnya mebenarkan kedudukan Bahasa Kebangsaan kita musnah? Atauu ia permulaan kepada usaha untuk melenyapkan cita-cita Allahyarham Tun Razak untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di semua peringkat?

Bahasa kebangsaan yang bererti bahasa Melayu seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan , perkara 152 hendaklah menjadi teras dan asas dalam memantapkan perpaduan dan pendidikan negara. Oleh itu perkara yang longgar berkenaan dengan isu ini hendaklah perlu dikaji semula.

Dalam Akta Pendidikan 1996, apa yang nampak kura selesa ialah dari segi kuasa yang diberikan kepada Menteri. Begitu banyak kuasa yang diberikan. Sehingga menampakkan bahawa kuasanya bboleh menghapuskan kemurniaan Akta Pendidikan itu. Kuasa Menteri seperti mana dalam seksyen 143 dalam akta ini adalah dikira begitu besar:

Menteri boleh, jika difikirkannya wajar dan demi kepentingan sesuatu institusi pendidikan atau demi kepentingan murid atau awam, melalui perintah yang disiarkan dalam warta, mengucualikan institusi pendidikan atau mana-mana golongan atau golongan-golongan institusi pendidikan daripada semua atau mana-mana peruntukan Akta ini kecuali peruntukan pendaftaran, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian itu atau mengubah atau menambah syarat-syarat itu.

Walaupun ada beberapa perkara yang bolehh diperbincangkan lagi terhadap beberapa keratan atau seksyen, tetapi ternyata ia adalah merupakan satu perundangan yang dapat menggambarkan hasrat negara.Dengan harapan melalui akta ini akan dapat melahirkan satuu corak pendidikan yang unggul dan menjadi kebanggaan bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia. Sesungguhnya ciri-ciri lama untuk menyatupadukan kaum masih terkandung dalam Akta baru ini dan gabungjalin di antara hasrat Akta Pelajaran 1961 dengan hasrat yang dibincangkan itulah maka lahirnya satu bentuk kurikulum pendidikan yang canggih dan telah mulai dirasai oleh rakyat kini. Namun usaha-usaha penyemakan terhadap kedudukan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan di institusi pendidikan, kedudukan institusi pendidikan dan kuasa-kuasa menteri dan kuasa penyiasat yang tidak memerlukan waran untuk memasuki premis dan kuasa penggeledahan adalah difikirkan patut disemak semula. Ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga kemurnia Akta Pendidikan itu sendiri dan mancapai matlamat pendidikan negara dan Wawasan 2020.
Cikgu Perlu Mengoptimumkan Penggunaan ICT di Sekolah
Kepesatan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sememangnya tidak boleh disangkal lagi terutama fungsinya yang boleh dimanfaatkan dalam bidang pendidikan. Di dalam usaha kerajaan membantu guru-guru untuk celik komputer, pelbagai langkah positif telah diambil. Antaranya ialah dengan menyediakan prasarana lengkap seperti kemudahan ‘Laptop’, ‘Laser Printer’ dan ‘Wireless Internet’ di makmal komputer sekolah yang membabitkan pelaburan yang tinggi.
Tidak hanya untuk kepentingan cikgu dan murid di sekolah bandar sahaja, segala kemudahan ICT yang disediakan kerajaan turut membabitkan sekolah-sekolah di luar bandar. Semua ini dilakukan atas dasar untuk memastikan setiap guru atau murid dapat menikmati kemajuan negara dan pada masa yang sama dapat mendekatkan jurang digital.
Penubuhan Pusat Internet Desa, Schoolnet, Pusat Komuniti IT, Info Desa, Pembestarian Sekolah dan bermacam lagi program telah dijalankan untuk memastikan setiap murid dan cikgu Malaysia dapat menikmati kemudahan teknologi Internet.
Cikgu digesa agar peka dengan segala bentuk usaha yang dilakukan oleh kerajaan di dalam memperkasakan penggunaan ICT kerana ia melibatkan pelbagai bidang kehidupan. Kesemua infrastruktur ICT yang disediakan oleh pihak kerajaan sewajarnya dioptimumkan penggunaannya agar niat murni untuk melahirkan murid-murid celik IT akan berhasil.
Kepentingan ICT Kepada Pengurus Sekolah
TEKNOLOGI maklumat dan komunikasi (ICT) sememangnya dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Pengurus sekolah tidak dapat memisahkan dirinya daripada membuat keputusan pada setiap hari kerana ini merupakan elemen penting dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Hakikatnya ICT sangat membantu dan menolong mereka (pengurus sekolah) untuk berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah, cepat dan membuat keputusan yang baik yang melibatkan maklumat, proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar, pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan pendapat Laudon dan Laudon ( 1997 ) yang menyatakan sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalisis. Secara umum ICT dapat menukarkan data-data mentah yang tidak memberi makna kepada maklumat yang tersusun dan berguna apabila ianya diproses, disimpan dan boleh dikemaskinikan dengan mudah dan cepat dengan menggunakan pelbagai perisian komputer yang ada. Maklumat-maklumat yang telah diproses ini sudah tentu dapat membantu pengurus sekolah membuat keputusan-keputusan yang tepat dan berguna dalam perancangan, pemantauan dan kawalan. Sebagai contoh dengan menggunakan sistem maklumat berasaskan komputer, maklumat mengenai pencapaian pelajar dalam peperiksaan disimpan, diproses dan dianalisis dalam bentuk graf, carta pai, carta bar, senarai dan jadual-jadual statistik yang mudah membantu pentadbiran sekolah mengesan kekuatan dan kelemahan yang ada dan seterusnya memudahkan mereka membuat perancangan dan program susulan yang sesuai dan dengan sendirinya keputusan yang diambil nanti relevan dengan isu dan masalah yang berbangkit. Maklumat berkaitan pelajar tidak hanya terhad kepada peperiksaan semata-mata kerana mereka merupakan komuniti utama dalam sesebuah sekolah. Maklumat berkaitan pelajar termasuklah maklumat peribadi, pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum, disiplin, sahsiah, buku teks, biasiswa dan sebagainya boleh diakses dengan mudah dan cepat untuk kegunaan pengurusan sekolah dengan bantuan teknologi ICT. Dulu maklumat yang disimpan di dalam fail kurang membantu dan dimanfaatkan kerana sukar dicapai. Tetapi kini dengan bantuan ICT, pengurusan sekolah dapat bekerjasama, berurusan dan membantu pihak luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Mahkamah dan pihak-pihak tertentu dengan lebih mudah dan cepat apabila maklumat sentiasa dapat dikemaskinikan. Pengetua sebagai pengurus sekolah perlu membuat keputusan yang adil, bijak dan menyenangkan staf dan guru-guru sekolah. Umpamanya dalam menentukan prestasi, kecemerlangan, dan peluang-peluang kenaikan pangkat, suatu rekod dan maklumat yang lengkap dan kemaskini amatlah diperlukan supaya keputusan penilaian itu tepat dan tidak diragui. Rekod-rekod sumbangan, penglibatan dan penghargaan yang diterima dan tindakan proaktif yang positif boleh diperoleh dengan mudah melalui sistem maklumat staf yang ada yang membantu pengurusan sekolah membuat keputusan yang tidak membuta tuli. Selain itu tugas pengurusan pejabat yang berkaitan dengan pengurusan kewangan, pengurusan stok, inventori, pembelian dan pelupusan barang memerlukan satu sistem yang memudahkan pengurusan sekolah membuat keputusan-keputusan penting. “Sistem Sokongan Keputusan” (DSS) adalah perisian komputer yang boleh menganalisis data dan dapat memudahkan pembuatan keputusan berdasarkan output yang ditunjukkan. Reigelath (1987) berpendapat struktur sistem pendidikan semakin rendah apabila masyarakat cepat berubah dengan teknologi tinggi yang berorientasikan maklumat. Berdasarkan kenyataaan tersebut tidak dapat tidak pengurus pendidikan memainkan peranan dan tanggungjawab penting dalam menghadapi cabaran ke arah arus perubahan keseluruhan sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah. Bermula dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran, pendekatannya harus disesuaikan dengan arus perkembangan ICT terkini. Dalam konteks ini guru bukan lagi dilihat sebagai sumber utama untuk menyampaikan maklumat tetapi lebih sebagai pemudah cara. Sebagai pengurus pendidikan sewajarnya mempastikan guru-guru mempunyai kebolehan dan kemahiran memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran ( P & P ) dan tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom, cakera padat, video, komputer, komputer bimbit, dan perisian-perisian aplikasi komputer seperti e-mail, pengkalan data, pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, internet, perisian persembahan dan lain-lainnya. Menurut Stair dan Reynolds ( 1999 ), tujuan utama sistem maklumat dan komunikasi adalah untuk membantu organisasi mencapai matlamat-matlamatnya dengan membekalkan pengurus-pengurus dengan “insight” ke atas operasi organisasi supaya mereka dapat mengawal, mengelola dan merancang dengan lebih berkesan dan lebih cekap. Justeru itu pengurus sekolah seharusnya menyiapkan diri dengan kepakaran dan kelebihan dalam teknologi maklumat ini kerana kemampuan mereka itu akan memudahkan sekolah diurus dengan berkesan dan cemerlang dan boleh menghadapi perubahan-perubahan drastik dalam dunia pendidikan. Kementerian Pendidikan umpamanya sebagai badan induk dunia pendidikan telah memainkan peranan penting untuk menghadapi zaman globalisasi dan dunia pendidikan tanpa sempadan dengan memasukkan kurikulum ICT dalam KBSR dan KBSM. Di samping sifat ICT itu sendiri yang membentuk suasana pembelajaran sepanjang hayat dan memberi peluang-peluang pembelajaran yang tidak ada had maka adalah menjadi suatu kewajaran kepada pengurus-pengurus pendidikan untuk menyesuaikan diri dengan segera kepada perubahan-perubahan ini. Dalam konteks sekolah kini, kebanyakan sistem pengurusan pejabat menggunakan peralatan komputer dengan menggunakan perisian-perisian seperti MS Excel untuk kewangan sekolah, sistem sokongan keputusan (DSS) untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, sistem maklumat pengurusan (MIS) yang membolehkan capaian mudah kepada data pelajar dan staf, sistem pengautomasian pejabat (OAS) untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan urusan seharian pejabat dengan menghasilkan kerja yang lebih pantas dan lebih kemaskini. Selain itu satu aplikasi komputer dalam pengurusan skim pinjaman buku teks dibangunkan menggunakan perisian dBase IV dapat membantu pengurusan dalam proses pinjaman buku. Keadaan-keadaan ini amat menuntut pengurus sekolah supaya sama-sama bergerak seiring dengan arus perubahan tersebut supaya mereka menjadi seorang pengurus, pemimpin dan pentadbir yang berketrampilan dan berwibawa seperti mana pandangan Zarina Zakaria ( 1998 ) yang menyatakan bahawa ekspektasi pentadbir sekolah terhadap sistem-sistem maklumat dan sikap mereka terhadap penggunaan komputer memberikan impak yang besar kepada kejayaan sekolah. Komunikasi merupakan proses penghantaran dan penerimaan mesej. Melalui komunikasi pengurusan dan pentadbiran sekolah boleh berkongsi maklumat-maklumat yang berguna untuk sebarang urusan. Bentuk komunikasi seperti surat-menyurat, memo, fax, pesanan suara dan telefon adalah menjadi kebiasaan di mana-mana. Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penguasaan kemahiran komunikasi yang berasaskan teknologi terkini amat penting untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengurusan sekolah kerana ianya lebih memberi sumber maklumat yang boleh diakseskan secara global di samping ianya lebih cepat, lebih jelas dan menarik. Proses-proses komunikasi boleh dikembangkan dan dipertingkatkan dengan bantuan peralatan teknologi komunikasi tersebut. Maklumat boleh diulang-ulang, boleh dihantar dalam pelbagai keadaan dan bentuk seperti gambarajah dan carta serta diikuti dengan kesan audio. Sebagai contohnya, penggunaan e-mail berasaskan web memudahkan pengurusan sekolah menerima mesej dan maklumat daripada pihak yang berkepentingan dengan sekolah seperti Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran dan sebagainya dengan lebih lancar, jelas dan sempurna. Di samping mendapat maklumat dengan cepat, maklumat-maklumat itu boleh merangkumi bukan sahaja teks, malahan gambar, animasi, grafik dan audio juga boleh diperoleh. Maklumat-maklumat boleh segera diperolehi melalui penggunaan internet menerusi “File Transfer Protocol” , “World Wide Web” dan sebagainya yang dapat membantu organisasi sekolah mendapat ilmu pengetahuan yang baru dan terkini. Hakikatnya memang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasi sekolah yang mendorong untuk menjadikan sekolah sebuah organisasi pembelajaran dan mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan warga sekolah.